Enam Modal Yang Diperlukan Oleh Penternak

Jika anda fikir, untuk menjadi seorang penternak yang berjaya, anda hanya perlukan modal kewangan, kurang tepat. Kerana seorang penternak adalah orang yang menghasilkan bahan makanan harian untuk orang sekelilingnya, dan sudah pasti cabaran dan persediaan amat besar.  Terdapat enam modal yang perlu disediakan sedikit demi sedikit sebelum anda bergelar seorang penternak yang berjaya.

Ilmu pengetahuan, adalah modal pertama yang perlu dimiliki oleh seseorang yang ingin menjadi penternak. Tanpa ilmu pengetahuan bagaimana seorang penternak nak memahami gerak kerja, seterusnya menghasilkan produk yang baik. Fokus pada sesuatu perkara, dan ianya memberi peluang kepada anda untuk belajar, banyak saja tempat untuk belajar bukan sahaja melalui kursus-kursus berbayar, namun dengan mendengar perkongsian daripada rakan penternak lain mampu memberi gambaran dan pengajaran. Semak dengan bahan bacaan yang telah diakui melalui kajian dan lihat pada realiti yang terjadi.
Nota: Anda bukan saja perlu tahu ilmu pengurusan ternakan, namun ilmu perniagaan dan pemasaran, undang-undang dan peraturan, serta isu semasa seperti penyebaran wabak penyakit (dalam dan luar negeri atau negara).

Sikap, ia adalah modal yang sangat lumayan jika dimanfaatkan dengan baik, boleh dibentuk melalui ilmu pengetahuan. Penternakan adalah aktiviti perniagaan, dengan itu, semailah sikap seperti seorang ahli perniagaan. Sentiasa mencari keuntungan, melihat peluang, dan berani mencuba. Sikap asas sebagai manusia bertamadun juga perlu ada, iaitu suka berfikir kesan dan akibat setiap langkah yang diambil. Bukan rempuh saja, bertengking saja, lantang bersuara, mengomen tunjuk anda saja yang tahu, anda perlu jadi seorang yang mudah didekati dan suka berbincang. Sudah-sudahlah dengan sikap publisiti murahan, jom tambah nilai dengan sikap yang lebih baik.

Ketahanan moral, cemuhan dan pandang rendah tidak boleh lari daripada seorang penternak. Anda mungkin bersikap oportunistik, bercita-cita tinggi, namun jika dicemuh anda sudah bercawatkan ekor, lalu menyendiri putus asa. Anda tidak sesuai menjadi seorang penternak. Pinangan anda ditolak sebab kerjaya anda adalah menternak bukan kejadian luar biasa, namun bila anda berjaya dalam penternakan minta satu, empat yang datang. Jadi ketahanan moral anda perlu tinggi untuk jadi seorang penternak yang berjaya.

Persaingan, adatlah dalam perniagaan (jika anda anggap menternak adalah perniagaan), modal mengawal pesaing anda, kenalilah mereka. Jika diambil pada pandangan positif, anda kena lebih unik daripada pesaing untuk anda kekal relevan dalam industri ini. Apa kelebihan dan kelainan yang anda boleh tawarkan kepada pasaran yang terbuka luas ini? 1 ekor kambing? 10 ekor kambing? 100 ekor kambing? Atau langsung tiada? Jadi trader, kerana anda boleh menghubungkan pasaran para penternak lain.

Pasaran, satu modal yang selalu terlepas, atau langsung tiada. Anda perlu mengkaji suasana permintaan produk keluaran ladang anda. Ianya berkaitan dengan persainan dalam perniagaan, kesemua modal yang sebelum ini perlu digabungkan untuk menilai pasaran yang ada. Cuma tanya diri, peringkat pasaran mana yang anda nak masuk.

Kesatuan, bercerai roboh tak beranak pinak, Bersatu teguh kita mengembang. Persatuan dan kelab yang ada sebenarnya wadah penghubung antara penternak dan pasaran. Di sudut ini, anda perlu ada matlamat yang sama seperti kesatuan tawarkan. Jarang dilihat sebuah persatuan dan kelab yang bertahan lama (cuba anda senaraikan), mungkin ada masalah dalaman yang sukar dibendung. Tidak perlu ramai ahli untuk kesatuan matlamat, hak anda terbela dan disekatakan. Apa perlu kesatuan jika matlamat peribadi yang dibawa, tolak ketepi sebentar kepentingan peribadi, bawa matlamat yang sama mesti matlamat peribadi tercapai. Sama-sama rasa.

Setelah kesemua enam modal ini telah anda kumpulkan, maka gunalah modal kewangan yang ada sebaiknya. Bagi anda, selain enam modal ini, apakah modal lain yang anda perlukan untuk jadi seorang penternak yang berjaya?

Nota Penafian: Penulisan ini adalah merupakan satu panduan sahaja. Sebarang kesulitan atau kerugian yang berpunca daripada usaha pembacaan di dalam mengaplikasikan hasil penulisan ini tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada penulis dan semua pihak penternak.my yang terlibat dalam penghasilan penulisan ini.
#penternakberilmumajujaya
#penternakdotmy
#penternak
Ikuti kami di:
Facebook page
Telegram channel