Isu ini menjadi isu yang serius dan perlukan tindakan drastik supaya diperbaiki secepat mungkin, sudah tentu setiap masalah pada ternakan akan menyebabkan kerugian yang jelas terhadap ekonomi ladang dan kepada penternak juga. Induk tidak lagi diyakini untuk dibuntingkan lagi, dan juga boleh jadi mati disebabkan masalah ini.
Prolapse, adalah situasi apabila organ peranakan terkeluar daripada kedudukan asalnya, boleh berlaku pada 3 struktur peranakan, pada vagina, servik dan juga uterus. Untuk struktur vagina dan servik ianya boleh berlaku pada induk yang sedang bunting ataupun tidak bunting. Namun untuk prolapse uterus ianya biasa berlaku pada ternakan yang sedang bunting dan beranak.
Kebarangkalian untuk masalah ini berlaku adalah pada ternakan yang mempunyai produktiviti yang tinggi, sebagai contoh lembu tenusu, lembu sado, kambing tenusu dan lain-lain lagi. Apakah faktornya menyebabkan masalah ini berlaku? Adakah disebabkan oleh jangkitan dan lain-lain gangguan?
Untuk memahami masalah ini, kita perlu kategorikan masalah ini kepada masalah metabolisma, ianya bukan masalah jangkitan tetapi masalah ini disebabkan oleh kekurangan mineral dan berpunca daripada pemberian makanan yang tidak stabil, dan ada yang berpendapat disebabkan oleh keturunan ternakan juga.
Secara detail, ianya berpunca daripada kekurangan mineral calcium, phosphorus dan magnesium, seterusnya ternakan berada dalam keadaan yang lemah, dan anak yang dikandung pula bersaiz yang besar menyebabkan organ peranakan terkeluar daripada kedudukan asal. Isu ini akan ditambah lagi dengan jangkitan kedua (menyebabkan nanah dan tisu organ mula kehitaman, mati) jika masalah ini tidak dirawat dengan kadar segera.
Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu pastikan ternakan mendapat makanan yang cukup, fiber yang cukup, mineral yang cukup, dan pastikan saiz anak adalah sesuai dengan badan induk. Rujuk orang yang pakar berkaitan dengan pemakanan dan pembiakan, supaya ternakan anda tidak mengalami masalah ini.
Untuk rawat masalah ini, organ peranakan perlu dimasukkan semula kepada kedudukan asalnya, berkemungkinan perlu dijahit semula dan diberi beberapa suntikan, rujuk doktor veterinar bertauliah yang berdekatan dengan anda.
Sumber rujukan:
Vaginal and Cervical Prolapse in Cattle and Sheep By Jennifer N. Roberts , DVM, DACT, Michigan State University, https://www.msdvetmanual.com/reproductive-system/vaginal-and-cervical-prolapse/vaginal-and-cervical-prolapse-in-cattle-and-sheep
Vaginal and Uterine Prolapses in Beef Cows – Frequently Asked Questions, Prepared by Nanita Blomquist, Ag-Info Centre, Alberta Agriculture Food and Rural Development https://www.thecattlesite.com/articles/831/vaginal-and-uterine-prolapses-in-beef-cows-frequently-asked-questions#:~:text=A%20cervical%20prolapse%20is%20usually,the%20vagina%20or%20rectum%20out.