Jika kita melakukan pemerhatian setiap hari atau pada tempoh berkala, kita akan dapat melihat keadaan normal dan tidak normal ternakan kita, keadaan tidak normal itu yang membimbangkan, boleh menyebabkan ternakan sakit. Penyakit berpunca daripada beberapa faktor seperti bakteria, virus, kulat, parasite, dan pengurusan. Selain daripada itu, faktor persekitaran juga boleh menyebabkan penyakit mula muncul. Walau apa sekali pun menyakit yang menimpa, jika tidak ditangani dengan baik, akhir sekali kerugianlah yang akan melanda.
1. Virus
Virus adalah satu makhluk halus yang merbahaya pada semua jenis hidupan termasuklah sel, tisu, hat bakteria juga terkesan. Pelbagai jenis virus yang telah wujud pada mengekori peradaban manusia, malah ternakan juga mendapat tempiasnya. Ciri-cirinya yang mengelirukan dan mudah merebak serta mempunyai daya tahan adalah mimpi ngeri jika terpaksa menghadapinya. Apa yang digunakan untuk mengatasinya adalah menggunakan vaksin ataupun antiviral. Antara penyakit yang biasa dilihat pada ternakan adalah seperti puru, ketuat, penyakit kuku dan mulut, rabies, dan yang pernah melanda Malaysia dahulu Nipah virus.
2. Bakteria
Terdapat banyak jenis bakteria dalam dunia ini, namun para pengkaji telah mengelaskannya kepada beberapa kumpulan berdasarkan ciri-ciri khusus pada bakteria itu. Jadi untuk mengatasi bakteria apa yang diperlukan adalah antibiotik. Namun kini dunia sedang mengadapi masalah kerintangan antibiotik tersebut pada bakteria. Antara penyakit yang disebabkan oleh bacterial adalah seperti Brucellosis, Caseous lymphadenitis (CLA), Foot Rot dan Mastitis.
3. Kulat
Kulat atau fungus adalah makhluk yang lebih besar dari bakteria, membawa kesan yang lama untuk pulih kerana strukturnya yang istimewa dan lebih komplek. Sering menjangkiti ternakan terutama jika kulit sering terdedah pada hujan dan basah. Walaupun boleh dirawat, bulu akan kusut dan turut tanggal dengan menggunakan ubat yang berbentuk krim dan lumuran pada kawasan yang terkesan. Antara penyakit yang biasa ternakan dapat adalah seperti ringworm, dan diingatkan juga, walaupun ianya kulat, namun mempunyai pelbagai jenis dan untuk merawatnya haruslah menggunakan ubat yang tepat. Kebarangkalian untuk mengjangkiti manusia adalah tinggi.
4. Parasit
Boleh dikelaskan kepada dua kategori, endo dan ekto parasit. Kedua-duanya menyebabkan masalah kepada ketidak sempurnaan nutrisi badan ternakan dan merosotkan pengeluaran hasilan ternakan. Dalam diam ianya merebak, adakala memakan masa sebulan, jika tidak diambil tindakan pencegahan awal, untuk mengubatinya memakan masa yang lama dan wang yang banyak. Seperti bakteria juga, parasit mula rintang dengan ubat yang sedia ada disebabkan salah penggunaan ubatan.
Endo – parasit
Endo-parasit adalah kumpulan parasit di dalam perut dan usus yang boleh dibahagikan ke dalam 3 kumpulan iaitu cacing hati, cacing pita dan cacing gelang. Bagi kambing yang dipelihara di atas kandang, cacing pita dan gelang adalah penting. Rawatan perlu dijalankan 3 – 6 bulan sekali. Haiwan yang terkena jangkitan akan menunjukkan tanda bulu kusam tidak berkilat, cirit birit berterusan dan jika keadaan bertambah kronik, air akan bertakung di bawah dagu (bottle jaws)
Ekto – parasit
Ekto-parasit pula adalah parasit yang duduk diluar badan iaitu di bahagian kulit kambing yang kebiasaannya dipanggil kutu. Selain menghisap darah, kutu juga boleh memasuki ke dalam kulit dan menyebabkan rasa gatal yang kuat dan bulu tanggal.
5. Kelemahan pengurusan
Terdapat juga penyakit yang berpunca dari kelemahan pengurusan. Antara kelemahan yang biasa dilakukan adalah penyediaan makanan yang berkualiti dan mencukupi, tidak melakukan pemerhatian ataupun kesihatan gerompok, merekodkan data, dan banyak lagi. Dengan memperbetulkan pengurusan, masalah akan mula berkurangan dan ternakan akan mula sihat. Ada pihak yang melantik konsultan berpengalaman untuk menasihati mereka, namun bagi yang belum mampu, anda boleh bertanya berkenaan pengurusan yang betul pada penternak berpengalaman. Antara penyakit yang boleh dikaitkan dengan kelemahan pengurusan adalah kelahiran cacat, dan penyakit metabolisma.
6. Persekitaran
Umum tahu, suasana cuaca di Malaysia adalah bekelembapan tinggi dan panas, itu adalah hakikatnya. Ada musim banjir, kemarau dan pelbagai lagi cabaran, namun persiapan perlu dilakukan dengan baik. Antara penyakit yang timbul adalah seperti pneumonia bawaan bakteria, kembung, keguguran akibat tekanan persekitaran dan banyak lagi. Antara yang membantu adalah penyimpanan rekod pada tahun ini untuk memperingatkan pada tahun akan datang, Penyediaan stok makanan juga perlu dilakukan bagi menghadapi cuaca yang tidak menentu.
Dapatkan konsultasi daripada pihak atau individu yang mahir, untuk rawatan yang menggunakan ubatan terkawal dapatkanlah khidmat nasihat daripada doktor veterinar bertauliah yang berdekatan dengan anda. Pencegahan awal adalah lebih baik dari mengubati. Kesihatan ternakan adalah tanggungjawap anda.
Sumber rujukan:
Apakah yang menyebabkan kambing anda sakit? http://globalveterinary.blogspot.com