Langkah Memupuk Minat Anak Terhadap Penternakan

Melakukan sesuatu yang diminati amatlah menyeronokkan dan terasa lebih mudah. Dengan minat juga, kita akan melakukan sesuatu dengan lebih serius dan tidak mudah putus asa. Begitu juga dalam dunia penternakan, kebanyakan penternak mempunyai minat dan itu adalah salah satu aura yang memastikan ladang terus beroperasi selain keuntungan semata-mata. Sayang jika minat terhadap penternakan tidak diwariskan kepada anak-anak, supaya mereka meneruskan legasi sebagai pembekal makanan negara. Berikut adalah lima langkah yang boleh diambil untuk memupuk minat anak dalam dunia penternakan;

Membawa mereka ke ladang ternakan, pada peringkat awal permulaan sesebuah pembangunan ladang ternakan adalah melawat ladang. Bawa bersama anak-anak anda untuk membuka minda mereka terhadap dunia penternakan. Industri ini sangat luas dan mencabar, jika mereka melihat sebuah sistem penternakan pada awal usia mereka, sudah pasti mereka mempunyai pandangan dan pendapat berkaitan penternakan pada masa akan datang. Mewariskan ladang penternakan yang telah anda bina kepada mereka bukan lagi satu kerisauan.

Berbicang berkenaan pengurusan ladang, libatkan mereka dalam urus tadbir ladang penternakan. Mereka akan merasakan ladang tersebut adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Pendapat serta pandangan mereka juga boleh diambil, pemikiran anak-anak adalah lebih kreatif, kadangkala idea yang dilontarkan oleh mereka adalah diluar kotak pemikiran orang dewasa. Jangan sesekali sisihkan mereka disebabkan faktor usia mereka masih muda, kerana masa tidak boleh dibeli untuk dijadikan sebagai pengalaman.

Ikuti kursus, atau kelas. Aktiviti ini memerlukan modal masa dan juga duit, namun perkara ini adalah penting bagi mempunyai pemikiran yang lebih tersusun dan mendapat ilmu berkaitan pengurusan dan sains penternakan. Setiap aktiviti di ladang mempunyai sebab yang asas untuk jangka masa pendek dan panjang kenapa perlu dilaksanakan. Selain itu, anak anda akan mempunyai pemikiran yang lebih kritis berkaitan dengan ilmu penternakan. Terdapat banyak kursus yang disediakan oleh agensi kerajaan dan juga pihak swasta. Jika anda mengikuti kursus, bawalah mereka bersama. Salah satu sumber rujukan untuk anda mengikuti kursus atau latihan adalah melalui portal.myagro.moa.gov.my

Baca buku berkaitan sains dan pengurusan ladang. Malaysia khususnya pihak kami meneliti berkaitan buku penternakan, namun masih kurang. Jadi apa yang boleh dilakukan adalah dengan mendapatkan buku dari negara lain seperti di Indonesia. Budaya membaca dalam kalangan penternak perlu ditingkatkan supaya penternak kita tidak ketinggalan. Belikan buku penternakan kepada anak anda. Salah satu kedai buku atas talian yang selalu kami lawati adalah bookcafe.com.my.

Beri peluang perniagaan berkaitan ladang ternakan anda. Sudah pasti, dalam penternakan anda akan menghasilkan produk, tidak kira pada peringkat apa, bahan mentah atau produk yang telah siap. Penternakan adalah satu perniagaan perlu dijadikan slogan yang jelas, anak anda akan lebih seronok jika aktiviti penternakan yang dijalankan membuahkan hasil keuntungan yang jelas. Bimbinglah mereka dalam mengurus perniagaan hasilan ladang anda. Pengalaman berniagaan pada peringkat awal boleh memberi peluang kepada mereka untuk mempunyai cita-cita legasi perniagaan yang lebih besar.

Minat perlu dipupuk dalam tempoh yang lama, dan banyak lagi aktiviti yang anda boleh lakukan bersama mereka selain dari lima aktiviti yang telah disenaraikan. Aktiviti penternakan amat mencabar, dan untung cepat bukanlah tujuan utama, berkemungkinan pada peringkat kita yang dewasa tidak merasai kejayaan yang jelas, anak-anak muda yang akan mengecapinya. Pupuklah minat anak anda dalam penternakan pada peringkat awal kehidupan mereka.

Nota Penafian: Penulisan ini adalah merupakan satu panduan sahaja. Sebarang kesulitan atau kerugian yang berpunca daripada usaha pembacaan di dalam mengaplikasikan hasil penulisan ini tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada penulis dan semua pihak penternak.my yang terlibat dalam penghasilan penulisan ini.
#penternakberilmumajujaya
#penternakdotmy
#penternak
Ikuti kami di:
Facebook page
Telegram channel