Susu Kolostrum Untuk Anak Ternakan

Perkara utama yang memastikan anak ternakan sihat dan hidup dengan baik adalah dengan pemberian susu awal yang dipanggil kolostrum. Pemberian kolostrum perlulah diberikan pada masa yang tepat dan dengan kuantiti yang cukup, agar daya tahan badan anak terhadap serangan penyakit lebih mapan. 

Pada awal kelahiran, anak ternakan mempunyai daya tahan badan yang lemah. Semasa dalam kandungan, placenta akan menghalang antibodi yang dipanggil immunoglobulin (Ig) daripada induk untuk disalurkan kepada fetus. Melalui pemberian kolostrum anak ternakan akan memperolehi maklumat berkaitan dengan antibodi bagi melawan penyakit. Terdapat tiga jenis imunoglobulin yang dibekalkan melalui kolostrum, Ig(G,M dan A) dengan pembahagian peratusan seperti berikut;

Immunoglobulin (Ig)Kandungan (%)
IgG85-90
IgM5-10
IgA5-10

Peranan utama IgG adalah untuk mengenal pasti dan membantu memusnahkan patogen yang menyerang/menceroboh badan. IgG boleh keluar dari aliran darah dan ke bahagian lain badan di mana ia juga membantu mengenal pasti patogen.

Peranan utama IgM adalah untuk mengenal pasti dan memusnahkan bakteria yang telah memasuki darah. IgA melekat pada membran kebanyakan organ, seperti usus, dan fungsinya adalah menghalang patogen daripada menyebabkan penyakit.

Selain itu juga, pemberian kolostrum juga boleh menjadi sumber nutrisi dan tenaga awal. Kunci kepada kejayaan dalam pemberian kolostrum kepada anak ternakan terletak pada empat komponen kritikal seperti berikut:

Masa – Berapa cepat anak ternakan menerima kolostrum selepas dilahirkan.
Kuantiti – Berapa banyak kolostrum yang diperoleh oleh anak ternakan.
Kualiti – Kepekatan imunoglobulin dalam kolostrum.
Kebersihan – Tahap patogen dalam kolostrum.

Pengurusan kelahiran anak ternakan pada saat kelahiran perlu diberi keutamaan, jika tempoh pemberian kolostrum terlepas, anak ternakan berisiko untuk tidak produktif dan mati.

Baca juga artikel Fasa Kelahiran Ternakan

Sumber rujukan:

1. Davis CL, Drackley JK. 1998. The development, nutrition and management of the young calf. Iowa University State Press.
2. What Is Colostrum? Nutrition, Benefits, and Downsides, healthline.com

Nota Penafian: Penulisan ini adalah merupakan satu panduan sahaja. Sebarang kesulitan atau kerugian yang berpunca daripada usaha pembacaan di dalam mengaplikasikan hasil penulisan ini tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada penulis dan semua pihak penternak.my yang terlibat dalam penghasilan penulisan ini.
#penternakberilmumajujaya
#penternakdotmy
#penternak
Ikuti kami di:
Facebook page
Telegram channel