Dystocia, merupakan keadaan kesukaran melahirkan anak. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kesukaran kelahiran terjadi, dan ini akan berlaku pada fasa kedua kelahiran (baca artikel Fasa Kelahiran Ternakan). Jika tidak diberi perhatian ianya boleh menyebabkan kerugian kepada penternak dengan pengakhiran ternakan dan anak mati.
Dystocia boleh dikelaskan kepada 3 kategori mengikut faktor, kesukaran kelahiran pada kekuatan, kesukaran kelahiran pada laluan, dan kesukaran kelahiran pada anak. Melihat kepada kategori tersebut, anda sudah boleh mengagak faktor yang terlibat, namun bayangkan jika ketiga-tiga kategori tersebut bergabung, apa nak dibuat?
Kesukaran kelahiran pada kekuatan, keadaan induk yang kesakitan, kehilangan tenaga pada saat fasa pertama kelahiran boleh menyebabkan kesukaran meneran. Banyak lagi faktor lain yang boleh menyebabkan keadaan ini, terutamanya berkaitan pengurusan pemakanan ternakan.
Kesukaran kelahiran pada laluan, ianya melibatkan struktur tulang (terutamanya pada tulang pelvic) dan juga organ pernakanan induk (terutamanya bukaan cervix). Betapa pentingnya merancang program kebuntingan, dengan membuat penilaian terhadap induk penjatan dan betina. Keadaan laluan yang sempit menyebabkan kesukaran kelahiran, dan tindakan dengan mengeluarkan anak melalui pembedahan perlu dilakukan secepat mungkin bagi menyelamatkan induk dan juga anak.
Kesukaran kelahiran pada anak, saiz anak dan juga posisi anak pada saat kelahiran. Terdapat banyak kebarangkalian posisi (songsang) anak boleh terjadi, dan setiap posisi ada diberikan nama. Masalah posisi boleh diatasi dengan memperbetulkan posisi tersebut dengan normal. Posisi normal adalah kepala dan kedua-dua kaki hadapan anak mestilah menghadap keluar. Masalah saiz anak yang besar, tindakan yang boleh dilakukan adalah seperti keadaan kesukaran kelahiran pada laluan. Anak akan mula bernafas apabila tali pusat terputus. Seboleh-bolehnya elakkan anak lemas.
Sumber rujukan:
1. Prof. Vlad TICA, MD, PhD. Lecture 16 Abnormal Labor: Dystocia, 2016, slideplayer.com