Kambing jantan kebiasaanya akan mempunyai bau yang busuk/ hamis. Ini membuktikan kejantanan kambing jantan tersebut. Secara ringkas apakah faktor yang menyebabkan perkara ini terjadi? Adakah bau busuk ini disebabkan air kencing yang selalu dikeluarkan terkena pada kepala, dan kaki hadapan kambing tersebut? Sebenarnya ada lagi faktor lain yang menghasilkan bau ini.
Untuk pengetahuan anda pada bahagian kulit, terletaknya pelbagai jenis kelenjar rembesan, salah satunya berfungsi untuk merembes sejenis minyak yang berfungsi menjaga kelembapan kulit, hasilnya, bulu kambing berkilat dan nampak kemas. Istimewa pada kambing pejantan, ternakan ini mempunyai sejenis kelenjar iaitu kelenjar bau (scent glands) yang terletak di belakang pangkal tanduk sebelum tengkuk kambing jantan (sebab itu bulu dibahagian tengkuk kambing jantan berkilat dan nampak lurus). Kelenjar ini dirangsang oleh tahap hormon testosterone yang dihasilkan oleh organ pembiakan pejantan (testes).
Testosterone ini pula dirangsang oleh kehadiran kambing betina yang sedang biang. Semakin tinggi tahap hormon testorsterone yang dihasilkan, semakin banyak minyak yang dirembeskan bagi menghasilkan bau hamis, dari sudut lain ianya menandakan induk pejantan telah bersedia untuk menjalankan tugasnya.
Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan bau hamis ini, termasuklah membakar pangkal tanduk (dengan menggunakan alatan khas) pada awal kelahiran kambing jantan lagi. Langkah ini diambil bagi membantutkan pertumbuhan tanduk, dan pada masa yang sama mereka juga membakar kelenjar bau bagi menghapuskan fungsi kelenjar tersebut.
Untuk mengurangkan bau hamis ini juga, disarankan buat para penternak untuk mengasingkan induk pejantan daripada induk betina (seboleh-bolehnya elak menyembelih kambing jantan pada musim mengawan). Namun kaedah yang lebih berkesan bagi menghapus bau pejantan ini adalah dengan memandulkan pejantan tersebut (tiada lagi testosterone yang dapat dihasilkan). Selain scent gland, cornual, sub-caudal, mental dan preputial glands juga terlibat dalam menghasilkan bau ini.
Nota: artikel ini dihasilkan secara ringkas dengan tidak menerangkan secara terperinci mekanisma dan kelenjar-kelenjar yang terlibat, untuk memahami dengan lebih lanjut perkara ini, baca sumber rujukan yang dilampirkan.
Sumber rujukan:
1. Van Lancker S1, Van Den Broeck W, Simoens P. Morphology of caprine skin glands involved in buck odour production. ncbi.nlm.nih.gov
2. Devaraj Sankarganesh1,#, Rajamanickam Ramachandran1,2, Radhakrishnan Ashok1, Veluchamy Ramesh Saravanakumar3, Raman Sukirtha1, Govindaraju Archunan4* & Shanmugam Achiraman1,4* Buck odor production in the cornual gland of the male goat, Capra hircus– Validation with histoarchitecture, volatile and proteomic analysis. researchgate.net
3. Muhammad Ahaduzzaman1, Morium Naznin1, Muhammad Atikur Rahman1*, Mohammed Ashif Imtiaz2, Suchandan Sikder1 Musk Gland Swelling in an Anemic Black Bengal Goat; Case Study. nexusacademicpublishers.com