Lembu Sakit Jantung

Oleh: Farhan Hanif

Sumber gambar: wsj.com

Kes-kes kegagalan jantung sebak (congestive heart failure) boleh terjadi dalam proses eksport (pengalihan) haiwan ternakan. Antara tiga punca utama ialah endokarditis valvular, pericarditis traumatik dan keracunan ionophore.

Endokarditis valvular terjadi terutamanya pada injap tricuspid (injap atrioventricular kanan) pada lembu. Keadaan ini biasanya terjadi akibat kehadiran bakteria di dalam darah disebabkan oleh jangkitan luka kulit, paru-paru, usus, akar gigi, permukaan sendi atau kelenjar susu. Bakteria ini kemudiannya tersekat pada injap tricuspid dan membentuk lesi vegetatif klasik. Lesi ini kemudiannya akan mengganggu fungsi injap.

Perikarditis traumatik pula terbentuk apabila paku, jarum atau kawat besi bercampur jerami atau sekam ditelan oleh haiwan. Bendasing ini akan terperangkap di dalam retikulum dan proses normal kontraksi pencernaan akan mengakibatkan bahan asing ini menembus dinding retikular, diafragma dan kantung perikardial. Seterusnya, ia mengakibatkan jangkitan kuman dan kantung perikardial akan diisi dengan efusi inflamasi fibrinopurulen. Apabila terlalu banyak efusi (cairan abnormal) ia akan menekan jantung yang dipanggial tamponade jantung, lantas menganggu fungsi jantung secara normal.

Ionofor seperti monensin dan lasalocid adalah bahan tambahan makanan antibiotik. Dalam jumlah tertentu atau jumlah toksik, ianya boleh menyebabkan nekrosis (kematian struktur tisu) pada otot jantung. Kesan toksik boleh berlaku akibat daripada kesalahan dalam formulasi pelet atau percampuran campuran premix yang tidak rata. Kerosakan yang teruk pada otot jantung seterusnya mengganggu pengecutan normal dan kegagalan jantung sebak.

Tanda-tanda klinikal dan diagnosis

Kegagalan jantung sering dikaitkan dengan edema pada bahagian brisket dan sub-mandibular, kembung yang ketara pada salur darah jugular, cirit-birit, pernafasan yang berat dan haiwan juga tidak mahu bergerak. Haiwan yang mengalami keadaan ini boleh  kolaps dan  terus mati. Apabila haiwan ini dinekropsi (bedah siasat), akan terdapat cairan pada bahagian toraks, perut dan perikardium, hati membengkak dan kongesi dan edema di sekitar ginjal dan mesenterik. Perikarditis pula dikenalpasti melalui bengkak pada perikardium dengan nanah fibrinopurulen.  Paku, jarum atau wayar boleh dijumpai di dalam perikardium atau berhampiran retikulum. Endokarditis valvular pula dikenali pertumbuhan vegetatif pada injap jantung. Ketoksikan ionofore boleh didiagnosis melalui kawasan pucat pada epikardium, terutamanya pada ventrikel kiri dan otot jantung.

Rawatan

Kerosakan pada jantung biasanya sukar dipulihkan. Oleh itu, euthanasia atau penyelembihan selalunya dicadangkan dalam kes kegagalan jantung sebak.

Pencegahan

Perikarditis traumatik atau ketoksikan ionofor berlaku apabila haiwan mengambil makanan yang berpotensi tercemar dengan paku, wayar atau ionofor. Pengilang harus dimaklumkan mengenai situasi ini. Endokarditis valvular berlalu akibat jangkitan kuman, oleh itu pengurusan kesihatan haruslah dititikberatkan. Sistem pengesanan awal dan rawatan jangkitan yang agresif dengan antibiotik adalah amalan eksport yang baik untuk mencegah keadaan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *