INTEGRASI SECARA INTENSIF

Rata-rata memahami system penternakan secara integrasi dilakukan dengan hanya melepaskan ternakan lembu ke dalam kawasan ladang kelapa sawit, kemudian menunggu masa untuk menuai hasil dengan mengharapkan ternakan tersebut membiak dengan sendirinya. Ada benar juga pembiakan akan berlaku, namun dari sudut pandangan kualiti ternakan yang terhasil adalah tidak memuaskan. Ada yang kecil saiznya, ada yang semakin kurang subur, malah semakin liar, dan ada kala berlaku pergaduhan dengan penternak lain kerana masing-masing mengaku itu adalah ternakan mereka.

Jika sistem ini dilaksanakan dengan kos yang rendah tanpa pelaburan dari segi pemantauan dan penyusunan penghasilan, maka kita akan melihat ternakan lembu integrasi kita semakin tidak bermutu malah jauh lagi untuk mengejar kecukupan bekalan daging negara kita. Dengan itu, kita perlu merubah sistem integrasi ini kepada lebih intensif. Dan sudah tentu ianya akan melibatkan kos yang tertentu, mari kita lihat bagaimana sistem integrasi secara intensif boleh dilaksanakan;

  1. Pengawalan plot meragut bagi tempoh yang tertentu. Pemerhatian perlu dilakukan dengan melihat hijauan yang ada untuk dimakan (boleh rujuk RUMPAI DI BAWAH KELAPA SAWIT)
  2. Membuat “flushing program” kepada induk betina dengan pemberian vitamin ADE, B dan juga iron. Semasa program ini juga, berat badan induk betina ditimbang (jika melebihi 350kg boleh dimasukkan ke dalam program pembiakan), pemberian ubat nyah kecacingan, dan juga boleh membuat “synchronization” biang pada induk betina jika ada yang layak untuk dibutingkan secara permanian beradas.
  3. Menetapkan seekor pejantan untuk kumpulan 15 ekor hingga 20 ekor betina dilepaskan Bersama selama 2 minggu hingga ke sebulan. Pejantan dan betina dipisahkan, pejantan direhatkan dan induk betina dibuat pemeriksaan kebuntingan.
  4. Kawanan ibu bunting yang dilepaskan dipantau supaya anak yang lahir dalam keadaan normal dan sihat.
  5. Anak yang lahir dipantau sehingga cerai susu, anak dipindahkan dan diberikan makanan pemula ataupun creepfeed. Anak ini akan melalui program feedlot yang mempunyai penjadualan pemakanan yang lebih teratur dan mempunyai nilai nutrisi yang lengkap.
  6. Anak yang sudah mencapai berat 350kg pada umur 18 bulan layak dimasukkan ke dalam kategori induk betina yang sedia untuk dibuntingkan. Prestasi pembesaran ini penting supaya hanya yang mempunyai daya pembesaran yang baik dibiakan. Genetik ternakan yang baik mesti disimpan supaya memberi pulangan yang lebih berlipat kali ganda.
  7. Mencatat setiap tindakan penting dan juga penjadualan program kesihatan dan pembiakan tahunan. Catatan ini adalah salah satu nilai tambah dan juga boleh dijadikan sebagai bukti kerja yang telah dilakukan untuk menghasilkan ternakan yang bermutu tinggi.

Penghasilan ternakan yang banyak memerlukan kawasan yang luas serta sumber yang banyak. Pemantauan dan juga penjagaan yang rapi memainkan peranan yang penting, supaya ternakan yang dihasilkan adalah yang terbaik. Ternakan yang sihat boleh membiak tanpa masalah yang ketara, kejayaan kelahiran ternakan yang baharu membolehkan negara kita mencapai kecukupan sumber daging negara.

Nota Penafian: Penulisan ini adalah merupakan satu panduan sahaja. Sebarang kesulitan atau kerugian yang berpunca daripada usaha pembacaan di dalam mengaplikasikan hasil penulisan ini tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada penulis dan semua pihak penternak.my yang terlibat dalam penghasilan penulisan ini.
#penternakberilmumajujaya
#penternakdotmy
#penternak
Ikuti kami di:
Facebook page
Telegram channel