Penyakit Johne’s Paratuberculosis Pada Ternakan

APA ITU PARATUBERCULOSIS?

Paratuberculosis atau lebih dikenali sebagai Penyakit Johne’s adalah merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium avium subsp. paratuberculosis (M.paratuberculosis). Ia merupakan penyakit kronik yang menyerang saluran usus dan mudah berjangkit. Penyakit ini selalunya akan menjangkiti terutamanya gerompok ternakan kambing, bebiri dan lembu (selalu dikesan dalam gerompok lembu tenusu) dan spesis ruminan yang lain. Penyakit ini dilaporkan pernah menjangkiti haiwan lain antaranya adalah  seperti kuda, babi, rusa, arnab dan musang.

Haiwan yang telah dijangkiti penyakit ini akan menunjukkan tanda seperti penyusutan berat badan secara perlahan tetapi berterusan dan peningkatan kekerapan cirit birit yang teruk.

Penyakit ini merupakan Penyakit Wajib Lapor Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (World Organisation of Animal Heath- OIE).

CARA JANGKITAN DAN PENYEBARAN

Haiwan yang terjangkit akan mengeluarkan bakteria dari badan ke persekitaran menerusi najis dan susu termasuk susu awal (kolostrum). Jangkitan ini berlaku kepada ternakan muda atau peringkat anak menerusi persekitaran yang telah tercemar dengan bakteria ini atau menerusi penyusuan induk yang telah terjangkit. Induk terjangkit boleh menjangkiti anak dalam kandungan. Haiwan terjangkit boleh mula menyebarkan bakteria melalui najis sebelum haiwan ini menunjukkan tanda-tanda sakit. Oleh itu, pembawa senyap “pembawa yang sukar/tidak dapat dikenalpasti” merupakan punca utama penyebaran penyakit ini.

Penyebaran penyakit ke dalam gerompok adalah disebabkan oleh kemasukan ternakan baru yang merupakan ternakan terjangkit. Ternakan dewasa adalah kurang berisiko berbanding ternakan muda untuk dijangkiti.

RISIKO KESIHATAN AWAM VETERINAR/ PENYEBARAN PENYAKIT KEPADA MANUSIA

Paratuberculosis bukan penyakit zoonotik di mana jangkitan daripada ternakan terjangkit kepada manusia tidak boleh berlaku. Namun demikian, pengasingan M.paratuberculosis pernah dilaporkan di dalam pesakit yang mengidap penyakit Crohn- sejenis penyakit kronik jangkitan usus besar pada manusia (Infectious Bowel Disease).

TANDA KLINIKAL

Oleh kerana jangkitan berlaku secara perlahan pada ternakan lembu, tanda klinikal boleh dikesan bermula umur 4-7 tahun, namun demikian jangkitan boleh berlaku seawall umur 1-2 tahun.

Bakteria ini mengakibatkan jangkitan kronik pada usus di mana ternakan terjangkit akan mengalami cirit birit, lemah dan penyusutan berat badan yang berterusan walaupun dengan selera makan yang baik dan suhu badan yang normal. Haiwan dari spesis bebiri, kambing dan haiwan ruminan yang lain mungkin tidak menunjukkan tanda cirit birit walaupun telah terjangkit.

Bakteria ini akan menjangkiti saluran usus di mana ia akan menyebabkan radang dan penebalan lapisan dinding usus. Dan ini akan menyebabkan penyerapan serta penyimpanan protein tidak berlaku dengan sempurna dan seterusnya menyebabkan penyusutan otot dan pengurangan pengeluaran susu. Keadaan ini juga akan menyebabkan ternakan terjangkit menunjukkan tanda klinikal yang dikenali sebagai “bottle jaw” di mana terdapat bengkak/pembesaran di bawah dagu ternakan ini. Tanda-tanda klinikal ini akan menjadi lebuh teruk secara berperingkat dan menyebabkan malnutrisi (keadaan akibat kekurangan makanan seimbang), kurus yang teruk dan akhirnya kematian.

DIAGNOSIS

Penyakit ini boleh dikesan menerusi tanda-tanda klinikal berkaitan yang ada pada ternakan dan disahkan melalui ujian pengesahan yang dijalankan menerusi kaedah pengasingan bakteria melalui kultur sampel najis dan lapisan mucus usus besar di bahagian rektal. Ujian ini akan dijalankan bermula dari pengambilan sampel oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan ujian dijalankan di Makmal Veterinar Wilayah yang berdekatan.

RAWATAN

Tiada rawatan untuk penyakit ini.

IMPAK PENYAKIT TERHADAP PENTERNAKAN

Penyakit ini akan menyebabkan kesan ekonomi yang negatif kepada penternakan kerana penyakit ini akan menyebabkan penurusan kadar pengeluaran susu ternakan terutamanya lembu tenusu, peningkatan kos berkaitan pengawalan dan diagnosis penyakit, penyingkiran ternakan yang telah disahkan terjangkit serta menyebabkan nilai daging ternakan yang disembelih rendah.

PENCEGAHAN DAN KAWALAN PENYAKIT

Pendekatan utama yang diguna pakai di Malaysia bagi mencegah dan mengawal penyakit ini di dalam gerompok ternakan adalah perubahan pengurusan dan aplikasi strategi uji dan singkir.

Perubahan pengurusan dalam penternakan bagi mengurangkan penyebaran penyakit di dalam gerompok di mana anak yang baru lahir boleh diasingkan dari menyusu secara terus dari ibu bagi mengelakkan anak terjangkit melalui pencemaran najis dan susu. Pemberian susu yang telah dipastikan bebas dari bakteria ini boleh diberi kepada anak tersebut. Persekitaran kandang terutamanya kandang yang menempatkan ternakan di peringkat anak, kawasan ragutan dan kawasan pemerahan susu juga perlu dipastikan bersih daripada najis. Untuk mencegah penyakit dari menjangkiti ternakan sedia ada, elakkan dari menerima kemasukan ternakan baru yang tidak dapat dikenalpasti status kesihatan dan penyakit.

Strategi uji dan singkir di mana ternakan di dalam gerompok dijalankan ujian saringan dan ternakan yang disahkan positif diasing dan disingkirkan dari gerompok. Untuk mendapatkan status gerompok bebas penyakit ini, beberapa siri ujian mengikut Protokol Penyakit Malaysia (PVM) yang akan dilaksanakan oleh Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Oleh itu penternak perlu melaporkan kepada pihak jabatan yang berdekatan jika mensyaki ternakan dijangkiti penyakit ini atau ternakan menunjukkan tanda klinikal yang berkaitan. Oleh kerana jangkitan boleh berlaku semasa proses penyusuan , anak dari induk yang terjangkit juga perlu diasing dan disingkirkan bagi mengelakkan penularan penyakit dalam gerompok.

KESIMPULAN

Oleh kerana penyakit ini tiada rawatan dan boleh mengakibatkan kesan negative terhadap ekonomi dan kebajikan haiwan, penternak perlu mengaplikasikan langkah kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan gerompok sedia ada dijangkiti.

RUJUKAN

Johne’s Disease in Goats Also known as Mycobacterium avium, MAP and Paratuberculosis https://www.farmhealthonline.com/disease-management/goat-diseases/johnes-disease-in-goats/

Information on aquatic and terrestrial animal diseases, paratuberculosis https://www.oie.int/en/animal-health-in-the-world/animal-diseases/Paratuberculosis/

Protokol Penyakit Malaysia, Penyakit Johne’s ,No. Dokumen: PVM (1-1516A:2009) Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Nota Penafian: Penulisan ini adalah merupakan satu panduan sahaja. Sebarang kesulitan atau kerugian yang berpunca daripada usaha pembacaan di dalam mengaplikasikan hasil penulisan ini tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada penulis dan semua pihak penternak.my yang terlibat dalam penghasilan penulisan ini.
#penternakberilmumajujaya
#penternakdotmy
#penternak
Ikuti kami di:
Facebook page
Telegram channel