Anak Lembu Sesak Nafas Disebabkan Pneumonia

Pengurusan awal pada anak lembu yang baru lahir merupakan kunci utama dalam melihat prestasi anak lembu yang optimum. Namun pada peringkat awal anak lembu ada yang mudah mati disebabkan masalah penafasan, terutamanya masalah pneumonia (radang paru-paru).

Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan masalah ini timbul, jangkitan virus seperti, Mannheimia haemolytica, Haemophilus somnus, Infectious Bovine Rhinotracheitis (IBR), bovine Respiratory Syncytial Virus (RSV) dan Parainfluenza III Virus (PI3), disertakan juga dengan jangkitan bakteria, cacing serta mycoplasma, akan memburukkan lagi keadaan anak lembu.

Tanda-tanda pneumonia mula muncul kebiasaannya setelah perubahan cuaca berlaku. Antaranya seperti;

  1. Sesak nafas (cara bernafas mula berubah).
  2. Pembesaran terbantut.
  3. Tidak selera makan (kadar pengambilan makanan menurun).
  4. Demam (suhu badan melebihi paras normal).
  5. Tidak aktif dan murung.
  6. Berhingus (pekat atau cair, jernih atau berwarna).

Radang paru-paru yang kronik tidak menunjukkan tanda pada peringkat permulaan dan anak lembu masih mempunyai selera makan yang baik tetapi mungkin mempunyai hingus yang sedikit, disertakan dengan peningkatan kadar pernafasan dan kerap batuk.

Apa pun bentuk penyakit pernafasan boleh menyebabkan kerugian kepada para penternak kerana ianya mengganggu pembesaran dan mungkin ada kematian pada tahap akut (cepat).

Rawatan

Antibiotik, anti-radang, anthelmintic, dan antistress boleh digunakan untuk rawatan mengikut diagnosis akhir penyebab radang paru-paru. Dapatkan nasihat rawatan daripada doktor veterinar bertauliah berdekatan dengan anda.

Pencegahan

Asingkan anak lembu yang mempunyai tanda-tanda radang paru-paru daripada kumpulan yang sihat.  Tingkatkan kebersihan kandang, pengurusan ternakan dan juga pengudaraan yang baik dapat mengurangkan risiko radang paru-paru. Pastikan anak lembu yang baru lahir menerima kolostrum dalam tempoh 24 jam pertama. 3 langkah ini juga boleh dilakukan untuk mencegah radang paru-paru pada anak lembu bagi tempoh yang panjang;

Pengudaraan: Selalunya jika kita dapat hidu bau amonia, itu adalah tanda pengudaraan yang tidak baik dan kelembapan kandang yang tinggi.

Pemakanan: Pemberian makanan yang mencukupi untuk anak lembu dapat meningkatkan kadar pembesaran dan tindak balas sistem imun yang lebih optimum.

Vaksinasi: Vaksin boleh diberikan untuk mengurangkan risiko jangkitan, ianya boleh dimasukkan dalam program kesihatan gerompok.

Sumber rujukan:
Better Returns from calf rearing oleh Dr Tim Potter and Sarah Pick, 2018, http://beefandlamb.ahdb.org.uk/wp-content/uploads/2018/05/Better-returns-from-calf-rearing.pdf

Dairy Calf Respiratory Disease: Treatment in the Aftermath of Cold Weather, oleh Russ Daly, DVM, DACVPM / South Dakota State University, Brookings, South Dakota, USA, 2017, https://en.engormix.com/dairy-cattle/articles/dairy-calf-respiratory-disease-t40603.htm

Baca juga artikel Bagaimana Mengurus Kelahiran Ternakan Dengan Baik

Nota Penafian: Penulisan ini adalah merupakan satu panduan sahaja. Sebarang kesulitan atau kerugian yang berpunca daripada usaha pembacaan di dalam mengaplikasikan hasil penulisan ini tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada penulis dan semua pihak penternak.my yang terlibat dalam penghasilan penulisan ini.
#penternakberilmumajujaya
#penternakdotmy
#penternak
Ikuti kami di:
Facebook page
Telegram channel