PENGENALAN RINGKAS
Pinkeye yang berlaku pada bebiri dan kambing adalah istilah pada masalah jangkitan mata yang disebabkan oleh bakteria (Mycoplasma conjunctivae, organisma Chlamydia, dan Mycoplasma sp.), bakteria ini menyasarkan struktur konjunktiva dan kornea pada mata. Namun pada lembu, pinkeye biasaya disebabkan oleh Moraxella bovis, adakala berkemungkinan berkait juga dengan bakteria lain seperti Mycoplasma dan Neisseria. Dalam pemerhatian berdasarkan kes-kes yang berlaku, bakteria yang yang menyebabkan kes pinkeye pada lembu (Moraxella bovis), adalah tidak sama untuk kes pinkeye dalam kambing dan kambing.
Pinkeye secara amnya memerlukan gabungan bakteria penyebab di kawasan mata dan beberapa trauma ke pada lapisan epitel kornea seperti habuk, kekeringan ataupun cahaya ultraviolet yang lama terdedah kepada kawasan mata ternakan.
Pinkeye pula bersifat mudah berjangkit dalam kelompok ternakan. Pada ternakan keadaan ini amat menyakitkan dan boleh menyebabkan produksi ternakan menurun. Ternakan yang mempunyai kesan kecacatan pada mata atau buta mempunyai nilai jualan yang rendah. Kebanyakan kes, sama ada dirawat atau tidak, boleh pulih dalam masa 4 hingga 6 minggu (lembu) atau 2 minggu (bebiri dan kambing). Ternakan yang pulih mungkin mempunyai kawasan putih yang kecil (parut) di kornea mata. Kadangkala parut adalah luas, ia boleh mengurangkan penglihatan secara serius. Jarang berlaku kornea pecah (namun boleh berlaku), menyebabkan kebutaan yang kekal.
Antara FAKTOR yang menyebabkan pinkeye boleh berlaku pada ternakan:
- Kepadatan ternakan yang tinggi.
- Keadaan panas, kering, berdebu dan kehadiran lalat.
- Kawasan yang kotor.
- Objek tajam yang boleh mencucuk mata.
- Akses kepada bahan makanan yang mengandungi bahan yang mudah memasuki mata seperti biji rumput, sekam, dan lain-lain bahan yang mudah memasuki mata.
- Segala faktor tekanan yang menyebabkan daya tahan badan ternakan menurun.
TANDA KLINIKAL DAN DIAGNOSIS
Satu atau kedua-dua mata boleh dijangkiti. Tanda-tanda termasuk mata darah (hiperemia), air mata yang mengotorkan muka ternakan, dan kelopak mata yang sentiasa tertutup. Kornea boleh menjadi merah pada mulanya dan kemudian bertukar warna kemerahan, kebiruan, kelabu, dan putih pada peringkat penyembuhan.
Diagnosis boleh dibuat melalui pengamatan pada bahagian mata seperti penemuan bahan asing pada mata. Trauma pada mata terjadi disebabkan tag telinga juga boleh disyaki. Penting untuk penternak memeriksa beberapa ternakan yang dijangkiti dengan memeriksa kehadiran biji rumput atau bahan asing pada mata. Sampel cecair yang keluar melalui mata juga boleh diambil untuk dilihat dibawah mikroskop bagi mengenal pasti kehadiran bakteria dan jenis bakteria yang menjangkiti mata ternakan. Namun disarankan kepada anda dapatkan perkhidmat daripada veterinawan yang bertauliah untuk mendiagnosis masalah mata ternakan.
RAWATAN
Kebanyakan kes pinkeye akan sembuh tanpa rawatan dan ini biasanya akan berlaku dalam tempoh masa yang sama jika rawatan diberikan. Namun, rawatan perlu dipertimbangkan jika terdapat banyak ternakan yang dijangkiti. Walau bagaimanapun, rawatan yang betul perlu dilakukan pada awal penyakit ini ditemui, Â tanda awal paling mudah apabila kelihatan kuantiti air mata yang keluar adalah tidak normal, langkah ini boleh memendekkan tempoh penyakit dan mencegah penyebaran penyakit serta mengurangkan komplikasi seperti kebutaan kekal dan parut pada kornea mata.
Sekiranya terdapat kebimbangan bahawa biji rumput, sekam atau badan-badan asing yang lain mungkin faktor utama masalah ini, maka setiap haiwan yang menghadapi masalah pinkeye perlu ditahan dan menjalani pemeriksaan mata dengan lebih teliti, terutama sekali pada bahagian kelopak mata (kawasan konjungtiva).
Rawatan untuk pinkeye adalah dengan penggunaan antibiotik (oxytetracycline atau trimethoprim sulpha) yang perlu diulang sehinggalah tanda-tanda klinikal hilang. Antibiotik boleh diberi melalui topikal ataupun suntikan. Kebiasaan Mycoplasma sering terlibat dalam pinkeye yang berlaku pada bebiri dan kambing.
Salah satu sifat Mycoplasma adalah tidak mempunyai dinding sel dan oleh itu jenis antibiotik yang mensasarkan penghapusan dinding sel bakteria (antibiotik beta-laktam seperti penisilin dan cloxacillin), berkemungkinan tidak berkesan untuk menyelesaikan masalah ini. Jadi gunalah antibiotik yang betul dan pada kadar yang tepat, sekali lagi diingatkan, dapatkan saranan profesional daripada veterinawan yang bertauliah berdekatan dengan anda.
Kedua-dua mata perlu dirawat walaupun hanya satu mata yang menunjukkan tanda-tanda penyakit. Ternakan boleh dirawat semula selang setiap 48 jam. Produk-produk mengandungi penisilin sintetik mungkin tidak berkesan terhadap jangkitan Mycoplasma dalam pinkeye pada bebiri dan kambing. Bagi ternakan yang mengalami tanda klinikal yang teruk, suntikan anti-radang juga berguna bagi mempercepatkan kadar penyembuhan. Kes-kes yang teruk mesti ditangani dengan teliti untuk mengelakkan mata membengkak dan risiko kornea untuk pecah berkurangan.
LANGKAH PENCEGAHAN
Mengubah cara pengurusan dapat membantu mengurangkan kadar penyebaran dan juga untuk mencegah kes-kes masalah mata yang berlaku disesebuah ladang. Mengurangkan pendedahan kepada biji rumput dalam bahan makanan ternakan, mengawal lalat di persekitaran setempat, dan mengurangkan habuk, adalah semua langkah yang dapat membantu dalam mencegah dan mengawal pinkeye. Elakkan pemberian bahan makanan yang jenis berdebu, kurangkan faktor tekanan pada ternakan seperti suhu panas, makanan yang tidak cukup, dan kepadatan kandang yang tidak sesuai. Pengasingan ternakan yang dijangkiti juga perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengawal penyebaran penyakit.
Sumber rujukan:
1. John B. Bashiruddin. Reproduced from the Animal Health and Production Compendium, 2007 Edition. CAB International, Wallingford, UK, 2007, Eye problems (new), infonet-biovision.org
2. Faez Firdaus Jesse Abdullah, Nurul Syazwani Radzuan, Abdulnasir Tijjani, Lawan Adamu, Yusuf Abba, Konto Mohammed, Abdinasir Yusuf Osman, Noorashimah Roslim, Dayang Norhaizam Awang, Abdul Aziz Saharee, Mohammed Zamri Saad, Abdul Wahid Haron, Stage II Keratoconjunctivitis in a Goat: A Case report, 2014, iosrjournals.org
Baca juga artikel Tempoh Penarikan Dalam Penggunaan Ubatan