Oleh: Dr. Mohd Fauzi Taslim

Tempoh penarikan atau withdrawal period merupakan terma yang perlu difahami bagi rawatan ternakan. Pemahaman ini akan menjamin keselamatan makanan yang bersumberkan haiwan, kerana isu kerintangan bahan ubatan adalah malapetaka yang serius untuk ditangani. Apa itu tempoh penarikan ini? Ianya adalah tempoh bagi bahan aktif ubatan untuk keluar dari badan ternakan secara total. Tempoh ini disarankan oleh pengeluar ubatan berdasarkan kajian yang telah dijalankan.
Bahan aktif ubatan adalah bahan yang akan bertindak balas dengan tubuh badan ataupun patogen yang menyerang ternakan. Kebanyakan bahan aktif akan dikeluarkan melalui bahan kumuhan (najis, peluh dan air kencing), sebelum itu ianya akan berkumpul di organ hati dan ginjal serta berada di dalam salur darah. Penyembelihan yang dilakukan sebelum tamat tempoh tersebut menyebabkan pengguna akan memakan bahan aktif ubatan tersebut secara tidak sedar.
Bahan aktif yang berkuantiti sedikit akan menyebabkan kerintangan terhadap organisma jahat seperti virus, fungus, bakteria, cacing (parasit) dan lain-lain lagi. Survival manusia menghadapi ancaman patogen kini membimbangkan jika penggunaan ubatan dilakukan tanpa memahami beberapa konsep asas tempoh penarikan, jenis bahan aktif dan farmakologi ubat yang digunakan ini. Dapatkan saranan daripada profesional seperti farmasi, dan doktor veterinar bertauliah yang mana mereka telah bersumpah untuk menjaga kesejahteraan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Merujuk kepada World Health Organisation (WHO) , mereka menyatakan kadar kematian disebabkan kerintangan ubatan ini semakin tahun semakin meningkat (rujuk who.int). Negara jiran kita di Indonesia khabarnya telah mengharamkan penggunaan antibiotik ternakan, malah mereka telah menggunakan probiotik dalam pengurusan ladang. Penggunaan ubatan yang beretika mampu membendung masalah kerintangan ini melalui, merekodkan jenis ubat dan identiti ternakan, menjaga dose ubatan yang diberikan, dan juga penggunaan ubat yang tepat untuk merawat.
“Langkahnya cepat, namun kesannya tempang berpanjangan” janji keuntungan yang cepat dan berganda yang diimpikan, namun mudarat kerintangan yang menimpa. Pihak penternak.my mengecam penggunaan ubatan tanpa nasihat profesional pada ternakan.
Sumber rujukan:
1. Katie Clifford a, Darash Desai a, Clarissa Prazeres da Costa b, Hannelore Meyer b, Katharina Klohe b, Andrea Winkler c, Tanvir Rahman d, Taohidul Islam e & Muhammad H Zaman a, Antimicrobial resistance in livestock and poor quality veterinary medicines, 2018, who.int
2. L.MarangunichH.Fernández CourelA.Fernández Suárez, Estimation the withdrawal period for veterinary drugs used in food producing animals, 2003, sciencedirect.com
3. What is a withdrawal period? fimea.fi
4. Muhammad Mustakim Ramli dan Ahmad Suhael Adnan, Ayam kebal makan antibiotik bahaya, 2015, bharian.com.my
Baca juga artikel Jenis Sel Darah Putih (SDP)