Coronavirus Pada Haiwan Peliharaan

Dunia pada hari ini digemparkan oleh fenomena “Novel Coronavirus” yang mana ianya telah memakan angka korban sebanyak 803 orang daripada 9,835 kes di seluruh dunia manakala sebanyak 16 kes telah dicatatkan di Malaysia (setakat artikel ini ditulis) yang mana virus ini akan menyerang sistem pernafasan manusia. Ada sesetengah kajian menemui virus ini berasal daripada ular, kelawar dan sebagainya. Namun, adakah coronavirus ini merupakan satu virus yang asing dalam dunia veterinar? Artikel ini akan membincangkan beberapa penyakit yang disebabkan oleh coronavirus dan paling banyak ditemui dalam dunia veterinar.

Struktur Coronavirus

Coronavirus adalah sejenis virus yang mempunyai “envelop” iaitu satu lapisan permukaan berbentuk sfera yang mempunyai “deduri glycoprotein” mengelilingi virus tersebut. Deduri inilah yang membuatkan virus ini dapat “melekat” pada sel perumah.

File:3D medical animation coronavirus structure.jpg

Coronavirus pada kucing

Adakah anda seorang pemilik kucing? Jika ya, maka haiwan peliharaan tersebut boleh dijangkiti penyakit yang disebabkan oleh coronavirus. Lazimnya, penyakit kucing yang sinonim dengan Coronavirus ialah penyakit Feline Infectious Peritonitis (FIP) yang mana ia disebabkan oleh Feline Coronavirus (FCoV).

Penyakit Feline Infectious Peritonitis (FIP) pada kucing boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu “wet form” atau “dry form”. FIP “wet form” adalah keadaan yang mana bahagian abdomen kucing tersebut akan membesar dipenuhi dengan cecair (ascites).

Bagi orang awam, bolehlah dikatakan sebagai “penyakit busung” pada seekor kucing. Manakala bagi kategori “dry form” pula kucing tersebut akan kelihatan kurus, kurang selera makan dan masalah neurologi seperti sawan dan sebagainya. Namun begitu, anda tidak perlu begitu khuatir kerana penyakit ini tidak berjangkit kepada manusia.

Contoh cecair pada ruang abdomen kucing yang dijangkiti “wet form” FIP.

Coronavirus pada ayam

Bagi penternak unggas khususnya ayam, Coronavirus ini boleh memberi kesan buruk terhadap industri. Hal ini kerana Coronavirus pada ayam boleh menyebabkan Penyakit Infectious Bronchitis iaitu satu penyakit yang boleh menyerang sistem pernafasan ayam, merebak dalam masa yang sangat cepat dan menyebabkan kematian populasi ayam dalam jumlah 60% populasi. Agak tinggi ya! Ayam yang diserang penyakit ini akan mengalami bengkak pada muka, mata berair, dan bersin.

Manakala bagi ayam penelur pula, produksi ayam penelur akan jatuh sehingga 50%! Malah telur yang dihasilkan pula membunyai bentuk yang tidak seragam, tidak cantic dan kulit telur yang agak nipis.

Oleh yang demikian, para penternak ayam sila vaksin ayam-ayam anda ya!

Telur ayam yang dihasilkan oleh ayam penelur yang dijangkiti Infectious Bronchitis

Nota: Elakkan penyebaran berita palsu berkaitan dengan wabak Coronavirus, semak dan teliti maklumat yang diterima, rujuk pada sumber yang boleh dipercayai.

Sumber rujukan:

  1. Medical Microbiology, 4th Edition by David A.J Tyrrell and Steven H. Myint
  2. The Merck Veterinary Manual, Tenth Edition
  3. Feline Coronavirus (FCoV) RT-PCR vet.cornell.edu
  4. Saeed Sharif,1 Siti Suri Arshad ,1 Mohd Hair-Bejo,1 Abdul Rahman Omar,1 Nazariah Allaudin Zeenathul,1 and Amer Alazawy1, Diagnostic Methods for Feline Coronavirus: A Review, 2010, hindawi.com

Baca juga aritikel Bagaimana Menghadapi Penularan Penyakit Pada Ternakan

Nota Penafian: Penulisan ini adalah merupakan satu panduan sahaja. Sebarang kesulitan atau kerugian yang berpunca daripada usaha pembacaan di dalam mengaplikasikan hasil penulisan ini tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada penulis dan semua pihak penternak.my yang terlibat dalam penghasilan penulisan ini.
#penternakberilmumajujaya
#penternakdotmy
#penternak
Ikuti kami di:
Facebook page
Telegram channel