Atresia Ani atau dikenali sebagai imperforate anus merupakan keadaan lubang anus yang bersambung dengan usus besar, tiada anus. Penternak akan perasan keadaan ini terjadi apabila anak ternakan yang baru lahir tidak mengeluarkan najis pertama yang berwarna kuning dan kelihatan kembung. Anak ternakan akan lemah dan tidak bangun berjalan, kesimpulan dibuat, anak ternakan tidak aktif. Jika anda lihat keadaan seperti ini, bawa anak ternakan tersebut ke klinik veterinar yang berdekatan untuk dirawat secepat mungkin.
Untuk menyambung usus besar ternakan dengan ruangan anus pembedahan perlu dilakukan. Oleh itu, banyak ubatan dan peralatan yang diperlukan bagi menjayakan penyambungan ini, kawasan pembedahan yang bersih perlu disediakan bagi mengelakkan jangkitan kuman berlaku, ini bermakna prosedur tersebut sepatutnya dielakkan berlaku diladang. Penjagaan setelah pembedahan adalah perkara yang paling penting bagi penentuan kejayaan pembentukan anus.
Bagaimana atresia ani boleh berlaku? Masalah ini dikategorikan sebagai “congenital and inherited anomalies” yang bermaksud, faktor keturunan dan juga kandungan. Keteranganya adalah seperti berikut;
Keturunan ianya berkaitan dengan genetik, maklumat keturunan yang diturunkan melalui DNA perlu dikembangkan bagi mengelakkan DNA yang membawa kecacatan dapat dielakkan. Disarankan kahwin silang dilakukan sebanyak mungkin melalui baka ataupun generasi berlainan, jika genetic poll mengecil, peratusan masalah kecacatan boleh meningkat. Catatlah salasilah keturunan ternakan anda, ianya bukan untuk anda semata-mata, ianya untuk komoniti penternak lain bagi melahirkan ternakan yang berkualiti dan premium.
Kandungan, pada saat kebuntingan adalah tempoh yang sangat penting (semuanya penting). Induk perlu dijaga sebaik mungkin, dengan pemberian makanan, dengan kepadatan populasi ternakan yang lain dan juga faktor cuaca juga memainkan peranan. Anda mungkin terfikir, semenjak menternak, tiada apa-apa masalah. Namun masalah seperti ketogori ini tidaklah berlaku dengan sekelip mata, mungkin pada kali ke-lima kebuntingan induk dan kelahiran ianya boleh berlaku. Faktor usia induk juga memainkan peranan.
Melihat kepada dua faktor tersebut, kita mempunyai idea bagaimana kecacatan ini boleh dielakkan. Yang pertama, perbesarkan lagi “genetic poll” ladang anda, catat salasilah keturunan ternakan anda (sebab itulah wujud istilah FB, PB dan CB, mereka sijilkan), betapa pentingnya memahami ilmu genetik ternakan, dan yang kedua jaga induk pada saat kebuntingan, pemberian makanan dan keperluan lain yang berkualiti, dan berkemungkinan anda juga boleh hadkan umur kelayakan untuk induk mula bunting, dan menamatkan perkhidmatan induk anda bunting (pencen). Kecacatan ini tidak hanya hadir pada ternakan kambing, namun boleh juga hadir pada semua jenis ternakan.
Sumber rujukan:
1. Lisa K. Pearson , DVM, MS, PhD, DACT, Washington State University, Congenital and Inherited Anomalies of the Small and Large Intestine, 2015, merckvetmanual.com
2. Mousa Husein Daradka, Surgical Repair of Atresia Ani (imperforate anus) in Newborn Kids and Lambs, 2013, Jordan Journal of Agricultural Sciences, semanticscholar.org
3. Gary W. Ellison, DVM, MS, DACVS, Surgery STAT: Diagnosis and surgical management of atresia ani in small animals, 2010, dvm360.com
Baca juga artikel Memahami Ilmu Genetik Ternakan